Muslim ialah gelaran bagi orang yang beragama Islam dan bermaksud seseorang yang telah berserah kepada Allah. Sebaik sahaja seseorang itu mengucap dua kalimah syahadah, dia akan secara langsung menjadi seorang Muslim.
Muslim mempercayai bahawa terdapat hanya satu Tuhan, iaitu Allah, serta juga bahawa agama Islam telah wujud sebelum Nabi Muhammad, dengan agama tersebut berkembang dengan berlalunya masa. Al-Quran memerihalkan banyak nabi-nabi dan Rasul-Rasul sebagai Muslim, termasuk Nabi Adam a.s., Nabi Nuh a.s., Nabi Musa a.s., serta juga Nabi Isa a.s. dan hawari-hawarinya. Al-Quran menyatakan bahawa tokoh-tokoh tersebut adalah Muslim kerana mereka berserah kepada Allah, berkhutbah tentang ajaran-Nya dan mendukung nilai-nilai-Nya. Misalnya, dalam Surah 3:52 Al-Quran, pengikut Nabi Isa memberitahu Nabi Isa as: "saksikanlah bahawa kami ialah orang-orang Muslim".
Muslim bersembahyang sebanyak lima kali sehari, dengan sembahyang tersebut dikenali sebagai Solat Subuh, Solat Zohor, Solat Asar, Solat Maghrib, dan Solat Isyak. Terdapat juga sembahyang Jumaat yang khusus yang dikenali sebagai Solat Jumaat.
KETERANGAN :
Muslim percaya bahawa Allah itu Esa dan tujuan hidup ialah untuk menyembah Tuhan. Muslim juga percaya bahawa Islam merupakan versi lengkap dan sejagat kepercayaan ajaran Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s., dan lain-lain nabi. Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah pengasas agama baru, sebaliknya menjadi pemulih keimanan ajaran nabi-nabi terdahulu. Tradisi Islam menegaskan bahawa agama Yahudi dan Kristian memutarbalikkan wahyu yang Allah berikan kepada nabi-nabi ini dengan mengubah teks atau memperkenalkan tafsiran palsu, atau kedua-duanya.
Amalan keagamaan Islam termasuklah Rukun Islam, yang merupakan lima tanggungjawab yang menyatukan Muslim ke dalam sebuah masyarakat. Selain itu, terdapat syariat Islam yang menyentuh pada hampir semua aspek kehidupan dan kemasyarakatan. Tradisi ini meliputi segalanya dari hal praktik seperti hukum pemakanan dan perbankan kepada jihad dan zakat.
Muslim mengikuti empat mazhab dari Imam besar Islam iaitu imam Hambali,Imam Maliki,Imam Syafie dan Imam Hanafi. Islam adalah agama paling berpengaruh di Afrika dan Timur Tengah, serta di sebahagian besar Asia. Komuniti besar juga ditemui di China, Semenanjung Balkan di Eropah Timur dan Rusia. Terdapat juga sebahagian besar komuniti pendatang Muslim di bahagian lain dunia, seperti Eropah Barat.
No comments:
Post a Comment