20. ADAB BERZIKIR

Adab Dalam Berzikir

Murid hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersih dari sudut badan, pakaian, tempat duduk, suci dari hadas kecil atau besar dengan berwudhuk. Murid digalakkan supaya menunaikan solat sunat dua rakaat iaitu sunat wudhuk dan taubat. Ianya bertujuan melayakkan seorang itu mendapat keapunan dari Allah s.w.t

Ketika mengamalkan zikir, murid dikehendaki berada di tempat sunyi dari sebarang gangguan. Ianya bagi memberi keupayaan seorang murid untuk memelihara diri dari sebarang gangguan terutama untuk penumpuan terhadap makna zikir itu sendiri. Berzikir di tempat sunyi juga dapat meninggalkan kesan yang sangat mendalam dan kelebihan yang banyak kepada murid.

Murid dikehendaki menutup kepala dengan selubung ketika berzikir untuk memelihara pandangan matanya dari mengganggu tumpuannya terhadap zikir .Murid dikehendaki menghadap kiblat ketika berzikir. Murid mestilah berada dalam keadaan tasyahud akhir tetapi diterbalikkan kakinya ke sebelah kiri. Ianya bagi menanamkan sifat tawaddhuk dan mengawal pancaindera. Mengumpulkan segala pengenalan ke dalam hati sanubari iaitu hendaklah menghilangkan atau mengosongkan fikiran dari perkara yang lain. Ianya hendaklah ditujukan pada hati. Murid hendaklah mengingati zat Allah di dalam hati dan bukan di kepala.

1. Beristighfar 

Mengamalkan istighfar dengan memohon keampunan dari Allah atas segala dosa dan maksiat. Ianya dibilang sama ada 5 atau 15 atau 25 kali. Caranya adalah lidah sentiasa memetik istighfar kepada Allah dengan lidah sedang dalam hati memohon ampun kepada Allah atas semua dosa zahir dan batin. Kemudian membaca surah al-Fatihah sekali, al-Ikhlas tiga kali dan dibaca dengan perlahan serta menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada semua roh-roh Syeikh Tarekat.

Memejamkan kedua kelopak matanya dan menongkatkan lidah ke langit-langit mulut dengan kedua-dua bibir dan gigi atas dan bawah dirapatkan. Ianya bertujuan untuk meningkatkan kekhusyukkan dan terbuka hijab hati. Seterusnya seorang murid dikehendaki mengingati, membayangkan dan merasai mati. Ianya dapat dilakukan dengan menganggap dan merasakan dirinya mati dan jasadnya terbujur kaku kemudian dimandi, dikafan, disembahyang dan ditanam ke dalam liang lahad dan tinggallah ia seorang diri. Ketika itu dia akan merasakan tiada suatupun yang memberi faedah kepadanya kecuali iman dan amal soleh.

Setelah itu seorang murid perlu melakukan rabitah mursyid. Murid-murid dikehendaki menghadirkan rohaniah syeikh atau muqabalah iaitu menghadap antara hati murid dan syeikh. Ianya mestilah mengingati rupa syeikhnya dalam khayalannya walau sekelip mata untuk mengambil berkat. Murid akan mengharapkan istimdad atau limpahan dari rohaniah dalam diri syeikhnya supaya ia menjadi teman dalam perjalanan seorang salik. Murid perlu mengingati bahawa istimdad dengan syeikhnya itu sebenarnya adalah istimdad daripada Rasulullah s.a.w kerana syeikh hanyalah perantaraan sahaja.

2. Bermunajat

Seterusnya murid hendaklah bermunajat sebanyak tiga kali dengan lafaz انت الهي مطلوبي ورضاك مقصودي dalam hati dari sudut lafaz dan maknanya. Seterusnya murid dikehendaki berzikir dengan Ism al-Dhat dalam hatinya dengan ditumpukan dalam hati makna zikir tersebut. Jika tidak disertakan zikir dengan maknanya maka zikir tersebut adalah kosong dan tidak diiktiraf sebagai zikir dalam Tarekat Nqsyabandiyyah.

Zikir Ism Dhat ini dilakukan dengan memerhatikan, merasakan, dan menumpukan sepenuh perhatian serta keyakinan tentang kewujudan Allah yang tidak menyerupai sesuatu pun dan murid hendaklah merasakan bahawa Allah mengetahui tentang dirinya zahir dan batin serta memerhati perlakuannya. Zikir ini dilakukan sebanyak lima ribu (5000) kali dan diselangi dengan munajat pada setiap seratus (100) zikir.

3. Warid

Selesai sahaja berzikir, murid perlu menunggu seketika kurniaan Allah yang dikenali sebagai warid iaitu sebarang bentuk lintasan rohani yang berlaku pada murid yang berzikir seperti ini. Jika dia mendapat jadhbah iaitu dorongan atau tarikan kerohanian, maka dia perlulah menjaganya supaya ia berterusan dan tidak berusaha untuk memutuskan jadhbah tersebut.

4. Penutup 

Tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah di Malaysia mengamalkan zikir Ism al-Dhat iaitu lafaz ALLAH dan zikir nafi isbat lafaz LAILLAHAILLALLAH dan dipilih berasasskan tradisi amalan Tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah terdahulu sebagaimana yang dengan disebut oleh al-Kurdi. Beliau menyebut: Ketahuilah sesungguhnya zikir qalbi terbahagi kepada dua iaitu zikir Ism Dhat dan nafi isbat. Zikir ini diamalkan bagi mendatangkan implikasi atau kesan terhadap keimanan dan ketaqwaan berdasarkan dari pandangan pemimpin-pemimpin Tarekat ini.

Syeikh Abdul Qadir Isa menegaskan : Sebaik-baik zikir adalah zikir khafi, sebaik-baik rezeki adalah apa yang mencukupkan kerana zikir khafi boleh sampai kepada ikhlas dengan segera dan lebih cepat pula diterima. Berdasarkan dari pandangan syeikh Abd al-Qadir Isa, zikir secara khafi iaitu senyap boleh sampai kepada keikhlasan dan ianya merupakan faktor utama untuk mendapatkan jadhbah atau mendekatkan diri kepada Allah. Perlaksanaan zikir ini adalah berdasarkan kepada sanad turun temurun dan bukannya ciptaan yang tersendiri dan ianya adalah berasaskan amalan-amalan yang telah dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin Tarekat Nqasyabandiyyah sejak dahulu lagi tanpa memiliki amalan tokok tambah atau kurang.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum wbt , Sebut saja hal berkaitan kematian, ia adalah saat yang sangat menakutkan. Bagaimanapun, perkara itu perlu sentias...

HOME