Terdapat satu zikir kita semua tahu dan mampu menghafaznya.
Selepas membaca hadis berikut, diharap kita dapat kekal istiqamah beramal
dengannya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa
mengucapkan ‘subhanallah wabihamdihi’ seratus kali dalam sehari, ia
akan diampuni segala dosanya sekalipun dosanya itu sebanyak buih di
lautan.” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmidzi)
Berdasarkan hadis itu, zikir ‘subhanallah
wabihamdihi’ sekiranya dibaca 100 kali pada setiap hari, ganjaran besar
menanti pengamalnya iaitu diampuni segala kesalahan dan dosa kecil yang
dilakukannya pada masa lalu. Nabi SAW menyebutkan sekalipun dosa itu sebanyak buih di
lautan. Kata ulama, kenapa Nabi SAW mengumpamakan seperti buih di lautan kerana
bilangan buih di lautan tidak pernah habis. Walau sebanyak mana dosa yang dilakukan, jika mereka
mengamalkan zikir itu pasti Allah SWT akan ampunkan.
Untuk menghabiskan zikir sebanyak 100 kali itu sebenarnya
tidak memerlukan masa yang panjang.
Namun, disebabkan manusia sentiasa tenggelam dengan sifat
malas dan lalai, ia menyebabkan zikir yang boleh diselesaikan dalam masa kurang
10 minit itu gagal dilaksanakan. Selain itu, di dalam al-Quran turut dinyatakan seluruh
makhluk lain di dunia ini turut berzikir dan bertasbih kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud “...dan tiada sesuatu pun
melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih
mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” (Surah
al-Israa’, ayat 44)
Segala benda yang berada di sekeliling kita termasuk haiwan,
tumbuhan, bukit, gunung- ganang dan sungai bertasbih memuji Allah SWT. Bagaimanapun, manusia tidak dapat memahami cara mereka
berzikir. Diriwayatkan dalam satu hadis, pada satu hari Nabi SAW mengambil
segenggam pasir dan membuka gengaman tangannya di hadapan Abu Bakar, Umar,
Uthman, Ali dan beberapa lagi sahabat. Ketika Baginda membuka tangannya, pasir itu berzikir dan
didengari sahabat yang berada di sekelilingnya. Itu adalah satu mukjizat.
Sahabat yang meriwayatkan hadis itu menyatakan, pasir itu
menyebut ‘subhanallah’ sehingga didengari secara zahir di telinga
mereka. Kemudian Nabi SAW memindahkan pasir itu ke tangan Abu Bakar.
Beliau memegang dan membuka tangannya lalu pasir itu bertasbih. Kemudian Abu Bakar menyerahkan pula pasir itu kepada Saidina
Umar. Ketika beliau membuka tangannya, pasir itu turut berzikir. Kemudian pasir
itu diberikan kepada Saidina Uthman dan ia masih berzikir. Saidina Ali yang meriwayatkan hadis itu menyatakan, apabila
Saidina Uthman memberikan pasir itu kepadanya, ia sudah tidak berzikir. Bagaimanapun, kenapa pasir itu tidak berzikir ketika berada
di tangan Ali tidak diketahui kerana semua itu adalah rahsia Allah SWT.
Banyak masa yang boleh diperuntukkan untuk mengamalkan zikir
berkenaan. Contohnya, ketika memandu dalam perjalanan pergi dan balik dari
tempat kerja, kita boleh mengamalkan zikir itu.
Itu dikatakan fadilat yang besar yang diperoleh daripada
amalan kecil. Selain itu, fadilat zikir ‘subhanallahi
wabihamdihi’ boleh diamalkan ketika diri risau tidak mampu bangun malam,
takut untuk berinfak dan sedekah serta ketika takut berhadapan dengan musuh di
medan perang.
Malah, turut dinyatakan amalan zikir itu lebih disukai Allah
SWT daripada seseorang menginfakkan sebuah gunung emas di jalan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment